Last updated Monday, May 16, 14:55
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, Mahmoud Zatara akhirnya menjaringkan dua gol pertamanya menerusi permainan terbuka musim ini ketika Sri Pahang cemerlang menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 3-0 dalam aksi Piala FA pada Sabtu lalu.
Pemain import dari Lubnan itu sebelum ini hanya menjaringkan satu gol, menerusi sepakan penalti ketika menentang Melaka United dalam aksi ketiga Liga Super.
Zatara mencuri tumpuan apabila mencipta dua jaringan menerusi tandukan pada minit ke-6 dan 27 untuk membenam Skuad Projek dan ia jelas melegakan pengendali pasukan, Christophe Gamel.
“Memang menjadi kebimbangan utama bila melihat dia kemarau jaringan, dan inilah apa yang saya mahu lihat dari dia sejak dari awal. Dia memainkan peranannya dengan cukup baik dan tampil tajam menerusi tandukan.
“Saya tidak pernah meraguinya dan saya tahu masa akan membantu dia untuk menemui sentuhan. Sekarang saya mengharapkan dia boleh mendapat keyakinan seterusnya menyumbang sesuatu yang lebih dalam perlawanan mendatang,” ujar Gamel kepada sripahang.com.my.
Tambah beliau lagi, “Zatara sukar disekat jika mendapat hantaran lintang yang sempurna seperti itu, mungkin hanya beberapa sahaja pemain boleh menghalangnya tetapi saya perlu akui, dalam permainan kita, hantaran lintang kita tidak selalunya sampai ke mana ia perlu sampai.
“Kamu boleh lihat hasilnya apabila hantaran lintang itu lebih tepat. Walaupun dia baru pulih dari kecederaan, kamu nampak kan bahawa dia menunjukkan satu mentaliti yang cukup baik.”
Sri Pahang seterusnya akan bertandang ke Seri Iskandar untuk perlawanan Liga Super menentang pendahulu liga, Johor Darul Takzim pada 18 Mei ini.
Perkara yang paling merunsingkan Gamel buat masa ini adalah masalah kecederaan di mana Malik Mat Ariff menjadi pemain terbaru terpaksa diketepikan selepas terdahulu kehilangan beberapa pemain utama termasuklah Johan Martial dan Billy Ketkeophompone.