Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Ubi Muda Pahang Bawa Nama Malaysia Di Vietnam

Last updated Thursday, Jun 16, 16:05

Akademi Bolasepak Rhino yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akan membawa nama Malaysia di Kejohanan Jemputan Piala Yakoma di Vietnam pada 18 dan 19 Jun ini. 

Pasukan Rhino B-11 kendalian Rostam Hassan dibarisi 12 pemain akan berentap dengan 24 kelab dari negara-negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian dalam kejohanan berformat 7-sebelah ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang tidak ketinggalan meluangkan masa bertemu sendiri dengan kesemua anggota pasukan sebelum mereka terbang ke Vietnam pada Jumaat, 17 Jun. 

“Sudah tentu ini satu penghormatan, apa yang penting, pergi ke sana enjoy the game, pada usia yang muda ini jangan terlalu menekan mereka dengan keputusan. Usia kanak-kanak dan remaja adalah usia yang sangat penting untuk berkembang dalam bolasepak. 

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan, fokus untuk dapatkan ilmu bermain di pertandingan antarabangsa. Biasa mereka main tempat sendiri, kini di tempat orang, dengan corak permainan dan budaya berbeza, suasana pertandingan berbeza. 

“Ini pendedahan baik untuk pemain muda, kita harap satu hari mereka boleh jadi the next Azam Azih, Baqiuddin, Ashar dan sebagainya,” ujar Datuk Suffian.

Turut hadir berkongsi kata-kata semangat dan memberi suntikan motivasi adalah ketua jurulatih skuad Liga Super Sri Pahang, Christophe Gamel serta dua pemain import iaitu Mamadou Samassa dan Johan Martial. 

Sementara itu, Pengurus pasukan, Norrulhuda Md Daud berterima kasih kepada sokongan diberikan PBNP serta SPFC, dan menyasarkan pasukan untuk melangkah melepasi peringkat kumpulan. 

“24 pasukan akan dibahagikan kepada 4 kumpulan, jadi kita akan bermain lima perlawanan di peringkat kumpulan. Tiga perlawanan pada Sabtu, dan dua perlawanan pada Ahad. 

“Hanya juara kumpulan akan mara ke separuh akhir, jadi kita akan cuba memberikan tentangan sengit untuk mengharumkan nama Pahang dan juga Malaysia. Kita sasarkan satu pencapaian positif,” ujar Norrulhuda.

Loading...