Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

Ubi Muda Pahang Tampil Cemerlang Di Singapura

Last updated Saturday, Sep 10, 11:02

Akademi Bolasepak Rhino yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang sekali lagi mengharumkan nama Pahang setelah tampil cemerlang di Kejohanan JSSL 7s International Football Tournament yang berlangsung di Singapura pada minggu lalu. 

Pasukan Rhino B-11 mencuri tumpuan apabila muncul juara kategori Plate dengan menewaskan Coerver Academy dalam perlawanan akhir, dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan Aqil Syafiq. 

Terdahulu di peringkat suku akhir, barisan ubi muda Pahang ini menewaskan Anza Socceroos dengan jaringan 2-1 sebelum menyingkirkan Akademi Barcelona di separuh akhir, sekaligus membalas dendam kekalahan yang dialami di peringkat kumpulan. 

“Pencapaian di Singapura ini boleh disifatkan lebih baik berbanding pencapaian di Kejohanan Yakoma Cup di Vietnam pada bulan Jun lalu, kerana Kejohanan JSSL 7s ini menghimpunkan kelab-kelab ternama bukan sahaja dari Asia tetapi juga Eropah. 

“Malah kejohanan ini juga diiktiraf sebagai kejohanan terbesar Asia bagi kategori 7 sebelah jadi untuk muncul juara, walaupun bukan di kategori Cup, ia adalah satu pencapaian yang besar. 

“Apa yang lebih penting adalah pendedahan dan pengalaman yang anak-anak cilik ini raih, keyakinan mereka bertambah dan permainan mereka juga meningkat dari perlawanan ke perlawanan,” ujar jurulatih Rhino, Rostam Hassan.

Selaku juara bagi kategori Plate B-11, Rhino membawa pulang piala dan medal, dengan hadiah disampaikan oleh duta JSSL 2022 iaitu Michael Carrick, lagenda Manchester United. 

Selain B-11, Rhino juga mengambil bahagian dalam kategori B-10. 

Walaupun berjaya untuk melepasi halangan peringkat kumpulan yang turut dibarisi pasukan ternama seperti Borrusia Monchengladbach (Jerman), Shoot FC (Jepun), Anza Socceroos (Australia), Tajimalela (Indonesia) dan wakil tuan rumah JSSL 4, namun cabaran mereka tersekat di pusingan kedua setelah tewas dalam masa tambahan kepada pasukan KDH Global.

Loading...