Sri Pahang FC

NEWS

Card image cap

“Walaupun Liga M3, Manjung City Bukan Lawan Mudah”

Last updated Wednesday, Mar 23, 13:05

Walaupun berbeza reputasi, Sri Pahang tidak akan mengambil mudah cabaran Manjung City FC apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi pusingan pertama Piala FA pada Rabu. 

Tatkala ia akan menjadi aksi pembuka tirai Liga Malaysia 2022 buat Sri Pahang, Manjung City pula telah menyepak mula musim mereka lebih awal dan setakat ini mengharungi empat perlawanan tanpa tewas dalam saingan Liga M3. 

Pengendali pasukan, Christophe Gamel gembira penantian untuk beraksi akhirnya akan terlerai dan beliau berharap tugas akan dilaksanakan sebaik mungkin barisan pemain tanpa sebarang kesilapan. 

“Seperti saya pernah katakan, saya melihat banyak perkara positif di dalam pasukan, saya tidak akan katakan pasukan ini sudah sempurna, kita masih dalam proses dan akan sentiasa bertambah baik. 

“Saya tidak boleh nafikan persiapan kita tidaklah lancar atas beberapa faktor luar jangka seperti penularan Covid-19, keadaan cuaca serta kecederaan dan ia turut menyukarkan usaha untuk membina konsistensi. 

“Tetapi saya tidak mahu menjadikan ia alasan kerana saya tahu ada pasukan lain turut berdepan masalah sama.   

“Saya akan pertaruhkan skuad terbaik menentang Manjung City kerana wajib untuk kita bermula dengan langkah kanan, lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri tapi mereka adalah sebuah pasukan yang datang dengan persiapan yang bagus. 

“Tiada sebab untuk kita memandang remeh cabaran Manjung City, fokus dan berdisiplin sepanjang 90 minit adalah kunci utama,” ujar Gamel kepada sripahangfc.com.my. 

Gamel dijangka dapat mempertaruhkan skuad terkuat menentang Manjung City dengan hanya khidmat pemain tengah Nor Azam Azih tidak dapat digunakan kerana dia ketika ini bersama pasukan kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa.

Loading...